Monday, December 6, 2010

SALAM MAAL HIJRAH


Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.
Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:
“Hampalah kami di sepanjang tahun ini”.

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

doa-awal-thn0.jpg (400×300)

Semoga tahun ini lebih bermakna buat kita semua, dan semoga tahun ini menjadi tahun yang lebih baik berbanding tahun-tahun yang lepas. SALAM MAAL HIJRAH

Tuesday, November 30, 2010

SUBURKAN HATI DENGAN IMAN


Penulisan saya kali ini menyentuh perihal hati. Hati, setiap daripada kita pasti memiliki hati, dan hati yang ingin saya bicarakan pada ketika ini adalah hati yang sihat dengan baja IMAN. Benarkah hati mampu sihat dengan baja IMAN? bagaimana nak membajai hati dengan IMAN?

Nah, mari kita sama-sama melihat apakah yang dimaksudkan dengan hati yang sihat. Ketauhilah, hati merupakan tempat membina dan menyuburkan IMAN dan TAQWA. Justeru itu, marilah kita bersama menjaga hati. Jangan sesekali membiarkan hati kita dihinggapi penyakit hati yang membuatnya sakit lalu mati sedangkan jasad ini masih bernyawa.

Benarlah Sabda Rasulullah SAW : 
"Di dalam diri seseorang ada seketul daging. Apabila ia baik maka baiklah diri itu keseluruhannya. Itulah dia Qalbu (hati)".

Mari kita tatapi dan menghayati pesanan Ibrahim bin  Adham seorang ulamak yang menyatakan sebab-sebab hati menjadi mati setra doa tidak diterima Allah SWT :

  • Kita mengerti hak Allah, tetapi kita enggan memenuhi apa yang menjadi hakNYA.
  • Kita membaca Al-Qur'an tetapi kita enggan melaksanakan tuntutan serta melanggar segala batasan yang dihadkan.
  • Kita khuatir akan nasib selepas kematian, tetapi kita tidak berusaha mencari bekalan persiapan menghadapinya.
  • Kita mengatakan bahawa kita mencintai Rasulullah, tetapi tidak suka mengamalkan sunnah baginda.
  • Kita telah memahami bahawa syaitan  itu sebenarnya musuh manusia dan mesti ditentang habis-habisan tetapi kita turuti lagi bisikan serta hasutannya.
  • Dengan kealpaan maupun kesedaran anda masih senang melakukan keingkaran dan maksiat.
  • Kita katakan kita takut dengan seksa neraka, tanpa disedari kita menjerumuskan diri ke jalan yang mendorong ke arah seksaan neraka.
  • Kita katakan kita telah beribadah dengan sebaik-baiknya untuk mendapatkan keredhaan Allah serta balasan syurga, namun bangun sahaja daripada tidur kita terus mendedahkan keaiban orang lain. Dengan demikian Allah mencampakkan segala kebaikan kita. Maka segeralah kita membuat semakan agar tidak terlepas dari rahmat Allah SWT.
Astaghfirullah hal azim.... (3x)

Sekiranya di antara pesanan di atas pernah kita lakukan, segeralah kita bertaubat. Semoga kita sama-sama menjadi hamba yang subur hatinya dengan IMAN. Amin...

Friday, November 26, 2010

"YAKINLAH UNTUK MENIKAH": ABG WIN



Agaknya bagaimana saya hendak mulakan penulisan saya? kerana bagi saya tajuk kali ini memang agak berat untuk saya terjemahkan dalam penulisan blog. Tapi, sebenarnya saya cuma ingin berkongsi sedikit pengalaman bersama seorang sahabat saya. Seperti yang tertera pada tajuk di atas demikian lah isu yang ingin saya kongsikan pada sidang pembaca sekalian, khususnya buat sahabat-sahabat saya yang masih belum menikah. 


Menikah... Satu frasa kata yang membawa erti yang begitu besar untuk seseorang baik lelaki mahupun wanita. Aduh.. malu pun ada, nak berkongsi cerita. Tapi, semoga perkongsian ini mampu mengetuk pintu hati kita semua, Insya'Allah. 


Alhamdulillah.. Pada pagi tadi rumah saya dikunjungi oleh seorang sahabat saya yang datang daripada jauh. Agaknya daripada mana? herm.. sahabat saya ini daripada Indonesia. Beliau datang ke Malaysia kerana urusan perniagaan, namun masih teringat pada saya dan sahabat-sahabat di Malaysia lalu beliau singgah menziarahi kami. Demikian lah, beliau menterjemahkan kalau ukhwah itu tidak dibatasi oleh perbezaan tempat kedudukan. Namun, saling terasa rapat dan lebih dekat bila berjauhan.


Biarlah saya perkenalkan serba sedikit perihal beliau. Saya dan sahabat-sahabat di sini memanggilnya Abang Win, kerana usianya sudah 30 tahun dan mempunyai 3 orang cahaya mata. Kedatangan beliau, membuatkan kami tidak melepaskan peluang untuk saling bertukar-tukar pandangan perihal dakwah, perihal perniagaan, juga perihal kenangan kami di masa-masa yang lalu.


Akhirnya, entah bagaimana boleh terpacul di mulut Abang Win satu soalan yang membuatkan kami terpinga-pinga. Abang Win bertanya pada Fahri dan Shami (sahabat serumah saya) "berapa umur kalian?". Mereka berdua menjawab dengan tenang "sudah 22 tahun akhi". Lantas mendengar jawapan itu, Abang Win terus menanyakan soalan yang sama pada saya "kalau enta berapa umurnya?". Saya menjawab "21 tahun, muda setahun saja daripada mereka berdua". Sebaik sahaja mendengar jawapan ana, dia berkata pada kami seperti ini. "Ana menikah ketika berumur 22 tahun"


Kami pun terkejut dengan kata-kata beliau. Beliau pun terus menceritakan tentang kisah perkahwinan beliau. Beliau menikah seawal usia 22 tahun selepas saja tamat pengajian di salah sebuah universiti di Indonesia. Sambung beliau lagi, ketika itu beliau baru sahaja bekerja 5 bulan dan memperoleh gaji sebanyak 200 000 Rupiah sebulan. Kami terus bertanya "sama dengan berapa ringgit akhi?". Beliau menjawab sambil tersenyum "sebanyak 100 Ringgit Malaysia sahaja". Beliau memaklumkan kalau pada mulanya hajat beliau tidak dipersetujui oleh kedua orang tuanya. Namun, beliau berjaya menyakinkan orang tuanya bahawa dia sudah bersiap sedia. 


Satu perkara yang membuatkan saya dan sahabat tersentuh dengan kata-kata beliau. "kalau difikirkan secara logika, ngak bisa masuk kan kalau cuma 200 000 Rupiah sebulan untuk menampung keluarga, sewa rumah dan belanja lainnya". Kami semua mengangguk membenarkan kata-kata beliau. Beliau sambung lagi, "tapi, buktinya ana dan isteri ana masih hidupkan hingga sekarang, malah sekarang udah punya mobil, bahkan udah punya rumah".


Subhanallah.. begitu tinggi keyakinan Abang Win untuk mendirikan Baitul Muslim. Abang Win terus memberi kami nasihat " soalnya apa kita yakin pada Allah ketika menikah? kan rezeki Allah itu luas, dan ngak kita sangka-sangka, apatah lagi orang yang menikah itu dibuka rezekinya seluas-luasnya". Aduh... Terketar hatiku mendengarkannya.


Mungkin ada juga kebenaran kata-kata Abang Win itu. Ia membuatkan saya merenung sejenak apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW :


"ketika seseorang telah menikah, maka dia telah menyempurnakan separuh agama. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah dalam separuh yang tersisa"
(HR.Baihaqi)


Justeru itu, saya berkongsi cerita ini adalah agar kita renungi semula erti perkahwinan itu. Kita memahami ia sebagai konteks yang di ajarkan oleh Rasulullah SAW iaitu sebagai penyempurnaan sebahagian daripada agama kita. Kan lebih baik kita menikah awal jika berkemampuan agar dapat kita mengelak maksiat dan menjaga Iman. 


Indahnya perkahwinan yang dibina di atas jambatan Iman kepada Allah SWT. Tidakkah anda teringin melihat Masjid yang anda bina itu adalah masjid yang diberkahi oleh Allah SWT? pasti kita mengimpikan sebuah kehidupan rumah tangga yang bergelar Keluarga Sakinah bukan. Justeru itu, marilah kita sama-sama membuat persiapan yang rapi, sebelum menerjah ke alam perkahwinan. Semoga dengan itu, kita peroleh kebahagiaan di dunia bahkan di akhirat kelak, Insya'Allah.


Jadi.. soal jodoh, rezeki, dan ajal maut ini, adalah ketentuan Allah. Oleh itu, sama-sama lah kita berdoa, semoga kita peroleh jodoh yang soleh dan solehah, memperoleh rezeki yang banyak dan barakah, juga pohonlah agar dipanjangkan usia untuk terus berbakti sebagai seorang hamba pada Allah SWT.. 


Pasti anda mau kan? Jom.. apa tunggu lagi, laksanakanlah kewajipan yang wajib kita penuhi..

Thursday, November 25, 2010

MENELITI RAHSIA PENGHULU SEGALA HARI


Assalamu'alaikum wbt.. Alhamdulillah, mari sama-sama kita mengucapkan rasa setinggi-tinggi rasa kesyukuran ke hadrat Allah swt, kerana memberi kita nikmat-nikmat yang begitu banyak kepada kita. Misalnya, nikmat kehidupan yang kita kecapi waktu sekarang. Hari ini merupakan penghulu segala hari iaitu hari Jumaat.

Justeru itu, saya ingin mengajak kepada saudara sekalian untuk sama-sama kita meneliti rahsia yang terkandung dalam hari Jumaat. Mari kita lihat diantara 6 kelebihan hari Jumaat adalah:

1. Berlakunya hari kiamat.
 Ya, Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya hari kiamat. Dalam suatu hadis riwayat Muslim, Nabi SAW ada menyebut bahawa, “Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”

 2. Nabi Adam diciptakan dan dia juga disingkirkan dari syurga.
 Hari Jumaat memang istimewa. Hari ini nabi Adam diciptakan, dan hari ini jugalah beliau diturunkan daripada syurga.
Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam a.s. diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.”

 3. Penghulu segala hari.
 Saya suka sebut Jumaat ni special. Kenapa ya? Jumaat ini adalah hari yang sangat-sangat istimewa kerana agama kita sendiri yang meletakkan Jumaat itu ketua dan lebih sedikit ganjarannya berbanding hari-hari yang lain.
Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

 4. Selamat dari fitnah kubur bagi yang mati pada hari Jumaat.
 Menurut Nabi SAW, “Tidak seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah  daripada fitnah kubur.”
Jadi, sama-samalah kita berdoa moga-moga Allah memilih kita di kalangan manusia-manusia yang diberikan kelebihan oleh Allah ini.

 5. Kebaikan dengan memotong kuku.
 Peliharalah kebersihan anda. Kalau boleh, Jumaat ni bagi lebih-lebih lagi. Mana yang dah lama tak potong rambut, maka potonglah. Kasi kemas. Kalau kuku dah rasa mula nak panjang, hah potonglah.
Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”

 6. Makbulnya doa di antara dua khutbah.
 Yang ini pun kita dah selalu dengar. Daripada zaman sekolah lagi mungkin ramai yang telah diberitahu akan perkara ini. Baca doa ketika imam sedang duduk antara dua khutbah selalunya makbul doanya tu. Ya, kan?
Banyak ulamak yang berpendapat bahawa makbulnya doa yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.
Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah yang bermaksud, “Pada hari Jumaat ada satu saat yang bertepatan dengan orang Islam ketika dia sedang sembahyang, di mana tatkala ia berdoa maka doanya itu akan dimakbulkan.” Dan rasulullah menunjukkan isyarat tangannya yang membawa maksud sedikit sahaja waktu itu.
Abi burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a berkata bahawa beliau pernah mendengar bahawa Abdullah bin Umar r.a pernah mendengar bahawa Rasulullah pernah menjelaskan bahawa waktu yang paling mustajab itu adalah waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai didirikan.

Subhanallah.. begitu banyak rahsia yang harus kita tahu dan bukan sekadar tahu tapi, harus kita rebut peluang-peluang agar kita semakin dekat kepada Allah SWT.. Semoga hari-hari yang kita lalui semakin meningkatkan rasa CINTA kita kepada Allah SWT..

Wednesday, November 24, 2010

UNTUK APAKAH ENGKAU DIDATANGKAN?


Alhamdulillah... saya masih diberi kekuatan untuk menulis hari ini. Sekali lagi saya akan mengajukan satu lagi soalan kepada kita semua. Mungkin anda semua masih ingat soalan sebelum ini bukan. Ya.. Daripada Mana Engkau Datang? itulah soalan penulisan sebelum ini. Alhamdulillah.. kita semua dah tahu asal usul kita yakni daripada Allah lah kita datang.

Rentetan terjawabnya persoalan itu, timbul pula persoalan yang lain. Mari kita renungkan bersama persoalan ini, untuk apakah engkau didatangkan? aduh.. kenapa agaknya kita harus menjawab persoalan ini? senang saja jawapan saya, selepas kita tahu asal usul kita mestilah kita harus mengetahui apa pula peranan kita?

Untuk apakah engkau didatangkan? dalam erti kata lain, apakah peranan kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini? adakah kejadian kita sebagai kebetulan semata-mata? adakah penciptaan kita hanya sekadar suka-suka? semuanya itu tidak sama sekali.

Saudaraku, Allah itu Maha Besar justeru itu setiap apa yang diciptakanNYA mestilah mempunyai hikmah yang terbesar. Misalnya penciptaan kita sebagai makhluk. Mari kita lihat firman Allah ini :

A030

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
(Al-Baqarah:30)

Subhanallah.. begitu mulianya kita diciptakan oleh Allah sebagai Khalifah di atas muka bumi. Namun, persoalan itu sebenarnya masih tidak terjawab. Lalu, apakah jawapan pada persoalan kita hari ini? mari sekali lagi kita gali ayat-ayat Allah dalam Al-Quran untuk mengetahui peranan kita sebenarnya di atas muka bumi ini.


A056

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. 
(Adz-Dzaariyaat: 56)

Maka jelas lah sudah penciptaan setiap di antara kita. Peranan kita begitu mudah bukan? hanya menyembah dan beribadat kepada pencipta yakni Allah. Mungkin ada antara kita akan berkerut dahi, dengan menyoal. Takkanlah hidup kita harus dihabiskan dengan beribadat, solat, puasa, zakat, dan haji sahaja? macam mana dengan kerja? mana mana dengan belajar? 

Saudaraku, persoalan itu kerana anda berfikiran sempit perihal agama Islam. Islam adalah agama yang syumul (menyeluruh). Adakah beribadah itu hanya pada solat, puasa, zakat dan haji sahaja? sebenarnya itu adalah ibadah khusus dan wajib kita laksanakan. Namun, pengertian ayat tadi sebenarnya beribadat yang dimaksudkan adalah merangkumi seluruh aspek kehidupan kita semua.

Macam mana tu? mari saya jelaskan pada anda semua. Sebenarnya konteks ibadah di dalam Islam adalah luas dan merangkumi seluruh aspek kehidupan kita. Pertama kita kena jelas apa pengertian ibadah? ibadah adalah semua perkara (syarak) yang dilakukan kerana Allah dikira sebagai ibadah.

Masya'Allah.. Cantiknya agama Islam. Kalau macam tu, makan kita ibadah, minum kita ibadah, tidur kita ibadah, kerja kita ibadah, belajar kita ibadah, bahkan saat anda membaca artikel ini pun dikira ibadah. Hebatkan.. setiap ibadah yang kita lakukan pasti diiringi dengan pahala, justeru itu beruntunglah kita sebagai makhluk ciptaan Allah.

Nah.. tidak kah kita rasa begitu mulianya kita sebagai hamba Allah yang beragama Islam? pasti anda semua akan menitiskan air mata bila melihat begitu mulia diri kita, sedangkan kita meletakkan diri kita dilembah kehinaan.. saudara seakidah denganku.. marilah kita kembali menjadi hamba. Hamba hanya sanya kepada Allah.. Laksanakan lah peranan kita sebaiknya, agar kita menjadi hamba yang benar-benar besyukur dengan kehidupan yang kita miliki.

Harus berapa banyak lagi dosa-dosa yang menghalang kita untuk menjadi hamba yang mulia? harus berapa lama lagi kita melalui kehidupan yang hina, padahal kita makhluk yang mulia? semua jawapan itu ada dalam hati saya, anda, dan kita semua. 

Jawapan saya, saya ingin segera menjadi hamba kepada Allah, kerana mungkin esok saya tidak punya waktu lagi. Anda mau kan bersama dengan saya? Mari jangan tunggu lagi...

Tuesday, November 23, 2010

DARIPADA MANA ENGKAU DATANG?



Daripada mana engkau datang? mungkin ada dalam kalangan kita yang akan menjawab, saya datang daripada rumah, saya datang daripada keluarga yang berada, saya datang daripada kota bharu, dan mungkin macam-macam lagi jawapan kita semua. Tapi, soalan ini menanyakan perihal asal usul kita sebagai manusia di atas muka bumi ini. Saya ulang lagi soalan ini, daripada mana engkau datang? apa jawapan anda?


Mungkin anda semua masih teragak-agak hendak menjawab soalan ini. Mari sama-sama kita cuba menjawab persoalan ini agar kita lebih kenal siapa kita sebenarnya. Wahai saudara dan saudari sidang pembaca sekalian, mungkin selama usia hidup kita, tidak pernah kita tanyakan soalan ini pada diri kita sendiri. Sebenarnya dimana asal usul kita?


Mari kita capai Al-Quran dan kita selongkar di mana asal usul kita sebenarnya. Mari kita lihat apa kata Al-Quran mengenai asal usul kita.


A005

Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakankejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.


(Al-Hajj: 5)


Maha Besarnya Allah. Surah diatas telah menjelaskan kepada kita di mana asal usul kita semua. Saya, anda dan kita semua sebenarnya berasal daripada Maha Pencipta yakni Allah. Allah lah pemilik kepada diri kita semua, tapi kenapa kita masih menyombongkan diri kepada Allah? adakah kita mahu menjadi seorang hamba yang lupa pada asal usulnya?


Nah.. sekarang kita sudah tahu dari mana kita datang? kita datang daripada Allah. Itulah jawapan pada persoalan yang harus kita tanyakan pada diri kita. Hal ini kerana, kita sering lupa diri bahawa kita sebenarnya hanya lah makhluk ciptaan Allah, yang begitu kerdil dan tidak memiliki apa-apa. Justeru itu, jawapan ini harus kita sematkan di dalam jiwa kita semua agar kita memahami hakikat kejadian kita sebagai manusia yakni hamba kepada Allah.


Ayuh saudara seakidah dengan ku, kita segera kembali menjadi hamba yang mungkin bukan yang terbaik di dalam kalangan hamba Allah, kita adalah hamba yang sentiasa berusaha untuk menjadi hamba yang terbaik kepada Allah. Bagaimana caranya? mudah saja, kita hanya perlu memahami 2 konteks sahaja iaitu melakukan segala seruan Allah dan meninggalkan segala larangan Allah.


Mudah bukan? jadi, apa tunggu lagi? jawapan dah dapat, cara-cara pun dah dapat , hanya bergantung kepada kita sahaja sama ada ingin mencuba menjadi hamba yang tahu asal usul atau hamba yang lupa asal usul.


Semoga persoalan ini menjadi titik tolak permulaan kita melangkah menjadi hamba kepada Allah..

Monday, November 22, 2010

BINGKISAN KATA HATI


Assalamu’alaikum  wbt…

            Alhamdulillah segala puji dan syukur kepada Allah, kerana dengan limpah dan nikmatNYA kita semua masih diberi kesempatan untuk merasai dua nikmat dan anugerah yang terbesar dalam hidup kita sebagai seorang mukmin, iaitu nikmat IMAN dan nikmat ISLAM.

Justeru dengan itulah menjadi titik tolak dan permulaan kepada saya menerobos dunia maya dalam bentuk penulisan blog ini. Kerana setapak demi setapak kakiku melangkah melalui alam maya ini harus kupastikan ia ditemani oleh IMAN, yang menjadi generator yang menggerakkan jari jemari menulis setiap bait-bait kata yang akan kupaparkan dan menjadi sumber kepada gedung idea dan pemikiran dalam  menghasilkan artikel untuk mengajak manusia kembali menjadi hamba kepada Allah swt.

Semoga dengan niat yang akan ternanam di lubuk hatiku yang dalam ini, menjadi niat yang akan dikira sebagai amal ISLAMI. Terlalu kerdil diri ini untuk menghasilkan penulisan yang mampu menggegarkan setiap jiwa-jiwa manusia yang membacanya, namun doa tetap kuiringi, agar Allah akan memberikan hidayah kepada kita semua melalui artikel-artikel yang akan dikongsikan.

“Kembali Menjadi Hamba” menjadi tajuk kepada blog ini kerana terlalu mendalam makna dan erti di sebalik frasa kata ini. Takrifan makna itu memberi kesan yang mendalam pada diri saya, kerana saya sendiri mempunyai sejarah hitam dalam kehidupan, lalu akanku cuba untuk kembali menjadi hamba kepada Allah swt yang memberikan sinar cahaya baru dalam sejarah hidup saya. Skop penulisan blog ini adalah berkisarkan perihal kehidupan kita di dunia yang fana ini.

"Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan." (Thaha: 114). Sepotong ayat Al-Qur’an ini menjadi ayat penguat jiwa bagi diriku untuk sentiasa ghairah dalam mengejar ilmu  dalam rangka menjadi hamba kepada Allah swt.

Ayuh saudaraku sekalian, sama-sama kita menjadi hamba kepada Allah swt iaitu pencipta kepada diri kita. Hamba perlu pada tuannya (manusia perlu pada Allah swt).

Wallahu’alam…