Tuesday, November 23, 2010

DARIPADA MANA ENGKAU DATANG?



Daripada mana engkau datang? mungkin ada dalam kalangan kita yang akan menjawab, saya datang daripada rumah, saya datang daripada keluarga yang berada, saya datang daripada kota bharu, dan mungkin macam-macam lagi jawapan kita semua. Tapi, soalan ini menanyakan perihal asal usul kita sebagai manusia di atas muka bumi ini. Saya ulang lagi soalan ini, daripada mana engkau datang? apa jawapan anda?


Mungkin anda semua masih teragak-agak hendak menjawab soalan ini. Mari sama-sama kita cuba menjawab persoalan ini agar kita lebih kenal siapa kita sebenarnya. Wahai saudara dan saudari sidang pembaca sekalian, mungkin selama usia hidup kita, tidak pernah kita tanyakan soalan ini pada diri kita sendiri. Sebenarnya dimana asal usul kita?


Mari kita capai Al-Quran dan kita selongkar di mana asal usul kita sebenarnya. Mari kita lihat apa kata Al-Quran mengenai asal usul kita.


A005

Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakankejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.


(Al-Hajj: 5)


Maha Besarnya Allah. Surah diatas telah menjelaskan kepada kita di mana asal usul kita semua. Saya, anda dan kita semua sebenarnya berasal daripada Maha Pencipta yakni Allah. Allah lah pemilik kepada diri kita semua, tapi kenapa kita masih menyombongkan diri kepada Allah? adakah kita mahu menjadi seorang hamba yang lupa pada asal usulnya?


Nah.. sekarang kita sudah tahu dari mana kita datang? kita datang daripada Allah. Itulah jawapan pada persoalan yang harus kita tanyakan pada diri kita. Hal ini kerana, kita sering lupa diri bahawa kita sebenarnya hanya lah makhluk ciptaan Allah, yang begitu kerdil dan tidak memiliki apa-apa. Justeru itu, jawapan ini harus kita sematkan di dalam jiwa kita semua agar kita memahami hakikat kejadian kita sebagai manusia yakni hamba kepada Allah.


Ayuh saudara seakidah dengan ku, kita segera kembali menjadi hamba yang mungkin bukan yang terbaik di dalam kalangan hamba Allah, kita adalah hamba yang sentiasa berusaha untuk menjadi hamba yang terbaik kepada Allah. Bagaimana caranya? mudah saja, kita hanya perlu memahami 2 konteks sahaja iaitu melakukan segala seruan Allah dan meninggalkan segala larangan Allah.


Mudah bukan? jadi, apa tunggu lagi? jawapan dah dapat, cara-cara pun dah dapat , hanya bergantung kepada kita sahaja sama ada ingin mencuba menjadi hamba yang tahu asal usul atau hamba yang lupa asal usul.


Semoga persoalan ini menjadi titik tolak permulaan kita melangkah menjadi hamba kepada Allah..

No comments:

Post a Comment