Friday, November 26, 2010

"YAKINLAH UNTUK MENIKAH": ABG WIN



Agaknya bagaimana saya hendak mulakan penulisan saya? kerana bagi saya tajuk kali ini memang agak berat untuk saya terjemahkan dalam penulisan blog. Tapi, sebenarnya saya cuma ingin berkongsi sedikit pengalaman bersama seorang sahabat saya. Seperti yang tertera pada tajuk di atas demikian lah isu yang ingin saya kongsikan pada sidang pembaca sekalian, khususnya buat sahabat-sahabat saya yang masih belum menikah. 


Menikah... Satu frasa kata yang membawa erti yang begitu besar untuk seseorang baik lelaki mahupun wanita. Aduh.. malu pun ada, nak berkongsi cerita. Tapi, semoga perkongsian ini mampu mengetuk pintu hati kita semua, Insya'Allah. 


Alhamdulillah.. Pada pagi tadi rumah saya dikunjungi oleh seorang sahabat saya yang datang daripada jauh. Agaknya daripada mana? herm.. sahabat saya ini daripada Indonesia. Beliau datang ke Malaysia kerana urusan perniagaan, namun masih teringat pada saya dan sahabat-sahabat di Malaysia lalu beliau singgah menziarahi kami. Demikian lah, beliau menterjemahkan kalau ukhwah itu tidak dibatasi oleh perbezaan tempat kedudukan. Namun, saling terasa rapat dan lebih dekat bila berjauhan.


Biarlah saya perkenalkan serba sedikit perihal beliau. Saya dan sahabat-sahabat di sini memanggilnya Abang Win, kerana usianya sudah 30 tahun dan mempunyai 3 orang cahaya mata. Kedatangan beliau, membuatkan kami tidak melepaskan peluang untuk saling bertukar-tukar pandangan perihal dakwah, perihal perniagaan, juga perihal kenangan kami di masa-masa yang lalu.


Akhirnya, entah bagaimana boleh terpacul di mulut Abang Win satu soalan yang membuatkan kami terpinga-pinga. Abang Win bertanya pada Fahri dan Shami (sahabat serumah saya) "berapa umur kalian?". Mereka berdua menjawab dengan tenang "sudah 22 tahun akhi". Lantas mendengar jawapan itu, Abang Win terus menanyakan soalan yang sama pada saya "kalau enta berapa umurnya?". Saya menjawab "21 tahun, muda setahun saja daripada mereka berdua". Sebaik sahaja mendengar jawapan ana, dia berkata pada kami seperti ini. "Ana menikah ketika berumur 22 tahun"


Kami pun terkejut dengan kata-kata beliau. Beliau pun terus menceritakan tentang kisah perkahwinan beliau. Beliau menikah seawal usia 22 tahun selepas saja tamat pengajian di salah sebuah universiti di Indonesia. Sambung beliau lagi, ketika itu beliau baru sahaja bekerja 5 bulan dan memperoleh gaji sebanyak 200 000 Rupiah sebulan. Kami terus bertanya "sama dengan berapa ringgit akhi?". Beliau menjawab sambil tersenyum "sebanyak 100 Ringgit Malaysia sahaja". Beliau memaklumkan kalau pada mulanya hajat beliau tidak dipersetujui oleh kedua orang tuanya. Namun, beliau berjaya menyakinkan orang tuanya bahawa dia sudah bersiap sedia. 


Satu perkara yang membuatkan saya dan sahabat tersentuh dengan kata-kata beliau. "kalau difikirkan secara logika, ngak bisa masuk kan kalau cuma 200 000 Rupiah sebulan untuk menampung keluarga, sewa rumah dan belanja lainnya". Kami semua mengangguk membenarkan kata-kata beliau. Beliau sambung lagi, "tapi, buktinya ana dan isteri ana masih hidupkan hingga sekarang, malah sekarang udah punya mobil, bahkan udah punya rumah".


Subhanallah.. begitu tinggi keyakinan Abang Win untuk mendirikan Baitul Muslim. Abang Win terus memberi kami nasihat " soalnya apa kita yakin pada Allah ketika menikah? kan rezeki Allah itu luas, dan ngak kita sangka-sangka, apatah lagi orang yang menikah itu dibuka rezekinya seluas-luasnya". Aduh... Terketar hatiku mendengarkannya.


Mungkin ada juga kebenaran kata-kata Abang Win itu. Ia membuatkan saya merenung sejenak apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW :


"ketika seseorang telah menikah, maka dia telah menyempurnakan separuh agama. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah dalam separuh yang tersisa"
(HR.Baihaqi)


Justeru itu, saya berkongsi cerita ini adalah agar kita renungi semula erti perkahwinan itu. Kita memahami ia sebagai konteks yang di ajarkan oleh Rasulullah SAW iaitu sebagai penyempurnaan sebahagian daripada agama kita. Kan lebih baik kita menikah awal jika berkemampuan agar dapat kita mengelak maksiat dan menjaga Iman. 


Indahnya perkahwinan yang dibina di atas jambatan Iman kepada Allah SWT. Tidakkah anda teringin melihat Masjid yang anda bina itu adalah masjid yang diberkahi oleh Allah SWT? pasti kita mengimpikan sebuah kehidupan rumah tangga yang bergelar Keluarga Sakinah bukan. Justeru itu, marilah kita sama-sama membuat persiapan yang rapi, sebelum menerjah ke alam perkahwinan. Semoga dengan itu, kita peroleh kebahagiaan di dunia bahkan di akhirat kelak, Insya'Allah.


Jadi.. soal jodoh, rezeki, dan ajal maut ini, adalah ketentuan Allah. Oleh itu, sama-sama lah kita berdoa, semoga kita peroleh jodoh yang soleh dan solehah, memperoleh rezeki yang banyak dan barakah, juga pohonlah agar dipanjangkan usia untuk terus berbakti sebagai seorang hamba pada Allah SWT.. 


Pasti anda mau kan? Jom.. apa tunggu lagi, laksanakanlah kewajipan yang wajib kita penuhi..

1 comment:

  1. salam a'laik..
    entry yg mnarik. dsni ad link notes fb,, moga brmanfaat buat kta smua.
    khusus buat muslimah sjati! =)

    http://www.facebook.com/note.php?note_id=173325476028459&id=129925207059549

    salam amal dr HambaYangHina

    ReplyDelete