Monday, November 22, 2010

BINGKISAN KATA HATI


Assalamu’alaikum  wbt…

            Alhamdulillah segala puji dan syukur kepada Allah, kerana dengan limpah dan nikmatNYA kita semua masih diberi kesempatan untuk merasai dua nikmat dan anugerah yang terbesar dalam hidup kita sebagai seorang mukmin, iaitu nikmat IMAN dan nikmat ISLAM.

Justeru dengan itulah menjadi titik tolak dan permulaan kepada saya menerobos dunia maya dalam bentuk penulisan blog ini. Kerana setapak demi setapak kakiku melangkah melalui alam maya ini harus kupastikan ia ditemani oleh IMAN, yang menjadi generator yang menggerakkan jari jemari menulis setiap bait-bait kata yang akan kupaparkan dan menjadi sumber kepada gedung idea dan pemikiran dalam  menghasilkan artikel untuk mengajak manusia kembali menjadi hamba kepada Allah swt.

Semoga dengan niat yang akan ternanam di lubuk hatiku yang dalam ini, menjadi niat yang akan dikira sebagai amal ISLAMI. Terlalu kerdil diri ini untuk menghasilkan penulisan yang mampu menggegarkan setiap jiwa-jiwa manusia yang membacanya, namun doa tetap kuiringi, agar Allah akan memberikan hidayah kepada kita semua melalui artikel-artikel yang akan dikongsikan.

“Kembali Menjadi Hamba” menjadi tajuk kepada blog ini kerana terlalu mendalam makna dan erti di sebalik frasa kata ini. Takrifan makna itu memberi kesan yang mendalam pada diri saya, kerana saya sendiri mempunyai sejarah hitam dalam kehidupan, lalu akanku cuba untuk kembali menjadi hamba kepada Allah swt yang memberikan sinar cahaya baru dalam sejarah hidup saya. Skop penulisan blog ini adalah berkisarkan perihal kehidupan kita di dunia yang fana ini.

"Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan." (Thaha: 114). Sepotong ayat Al-Qur’an ini menjadi ayat penguat jiwa bagi diriku untuk sentiasa ghairah dalam mengejar ilmu  dalam rangka menjadi hamba kepada Allah swt.

Ayuh saudaraku sekalian, sama-sama kita menjadi hamba kepada Allah swt iaitu pencipta kepada diri kita. Hamba perlu pada tuannya (manusia perlu pada Allah swt).

Wallahu’alam…


No comments:

Post a Comment